Penarafan MARC, bukti strategi berkesan BDB

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) mengesahkan penarafan MARC-2IS terhadap program Nota Komersial Islamik (ICP) Bina Darulaman Bhd. (BDB) bernilai RM100 juta bagi tahun keempat berturut-turut. 

Menerusi semakan terbaharunya pada Ogos lalu, agensi itu menyatakan penarafan itu diberikan berdasarkan gabungan kekuatan persaingan BDB untuk melaksanakan projek infrastruktur dan pembinaan di Kedah, bank tanah yang tersedia untuk pembangunan hartanah dan baki tunai mencukupi.

Agensi penarafan itu juga mendapati BDB terus merekodkan pemulihan di sebalik persekitaran perniagaan yang mencabar tahun lalu ekoran pandemik COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BDB, Faris Najhan Hashim menyifatkan, laporan MARC itu secara efektif mengesahkan strategi dan pelaksanaan pengurusan BDB dalam mewujudkan model perniagaan berdaya mapan bagi syarikat dan menjana nilai untuk tempoh jangka panjang kepada pemegang saham.

Katanya, hasil daripada strategi penstrukturan secara berterusan ke arah keuntungan perniagaan jangka panjang, BDB menyusun semula perniagaan utamanya kepada 2 bahagian teras, iaitu Pembangunan Harta dan Kejuruteraan, Pembinaan & Kuari. 

“Pendekatan ini yang menyatukan sumber dan fokus pada kecekapan teras kumpulan telah membuahkan hasil dan terbukti penting dalam meningkatkan prestasi kewangan dan daya saing BDB bagi 2020 dan 2021. 

“Penetapan strategi dan hala tuju lembaga pengarah BDB serta pelaksanaan dan penyampaian beberapa dasar oleh pengurusan kanan BDB telah diselaraskan untuk memastikan penyampaian tujuan dan KPI utama syarikat dalam lingkungan perniagaan yang sangat mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kumpulan akan meneruskan keseimbangan dan pengoptimuman bagi operasi perniagaan utama yang dipacu untuk memastikan kelangsungan dan ketahanan kumpulan sebagai entiti berdaya maju.

Bagi mencapai hasil diharapkan, lembaga pengarah dan pengurusan BDB komited untuk menerapkan proses pembuatan keputusan yang bebas dan kukuh berhubung pelaburan projek, berdasarkan data, wawasan dan pengalaman industri yang dimiliki pihak pengurusan.  

“Kami juga menyedari, kejayaan program vaksinasi kebangsaan, pembukaan semula ekonomi serta permintaan kukuh bagi rumah mampu milik di Kedah akan menjadi pemangkin pertumbuhan baharu kepada BDB apabila persekitaran perniagaan semakin bertambah baik beberapa bulan atau tahun akan datang,” jelas beliau. 

DAGANG NEWS | 30 OGOS 2021

https://dagangnews.com/penarafan-marc-bukti-strategi-berkesan-bdb-8654

 

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022