BDB lantik Che Had sebagai Pengerusi baharu

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB) melantik Che Had Dhali sebagai Pengerusi baharunya berkuatkuasa 1 Februari 2022.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, Che Had, 57, mempunyai lebih 33 tahun pengalaman dalam perniagaan perundingan hartanah.

Katanya, Che Had memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan penilaian dan perundingan aset dengan syarikat antarabangsa Jones Lang Wootton, Arthur Lim Valuers dan Henry Butcher, Lim & Long (N) Sdn Bhd sebelum menyertai Jurunilai Bersekutu pada 1992 dan jawatan terakhirnya di Jurunilai Bersekutu ialah sebagai Eksekutif Pengarah.

Pada 2008, beliau telah dijemput untuk menyertai Kerajaan Negeri Kedah (KSG) sebagai Pegawai Khas merangkap Penasihat Syarikat Berkaitan Ekonomi dan Kerajaan kepada Menteri Besar Kedah ketika itu dan beberapa syarikat syarikat berkaitan kerajaan negeri lain sehingga 2010.

Semasa berkhidmat dengan KSG, Che Had terbabit dalam rundingan antarabangsa serta mempromosikan produk dan perkhidmatan negeri di Australia, Papua New Guinea, Thailand, Indonesia, United Kingdom, Belanda, Jerman, Denmark, Qatar, Dubai, Bahrain, Mesir, Iran, Yaman dan beberapa negara lain.

Pembabitan beliau dalam perkhidmatan perundingan hartanah selama lebih 33 tahun meliputi pelbagai negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan serta khusus dalam kes pengambilan tanah, pasaran dan kajian daya maju untuk pembangunan besar.

Che Had baru-baru ini diperakui oleh International Association of Certified Valuation Specialists (IACVS) sebagai Pakar Penilaian Antarabangsa.

Beliau kini adalah Penilai Berdaftar merangkap Ejen Hartanah Berdaftar untuk IM Global Property Consultants dan kini mengetuai cawangan Kedah.

Beliau telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah BDB pada 3 April 2008 sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas dan kemudiannya dilantik semula sebagai pengarah bebas.

Che Had meninggalkan BDB pada 30 Mei 2013.

BERITA HARIAN | 31/1/2022

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/01/917708/bdb-lantik-che-had-sebagai-pengerusi-baharu

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022