LAWATAN PENGERUSI KUMPULAN BDB KE DIVISYEN KEJURUTERAAN, PEMBINAAN & KUARI (ECQ)

LAWATAN PENGERUSI KUMPULAN BDB KE DIVISYEN KEJURUTERAAN, PEMBINAAN & KUARI (ECQ)

Hari ini, Pengerusi Kumpulan Bina Darulaman (BDB), Sr Haji Che Had Dhali telah mengadakan lawatan kerja ke Divisyen Kejuruteraan, Pembinaan & Kuari (ECQ) melibatkan Ibu Pejabat BDB Infra Sdn Bhd dan BDB Synergy Sdn Bhd di Tanjung Bendahara, Alor Setar.

Lawatan tersebut turut disertai oleh Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Sobri Hussein, Ketua Pegawai Korporat, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, Ketua Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan & Kuari (ECQ), Tahir Md. Zin dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Sajahan Abdul Waheed.

Dalam sesi lawatan tersebut, Sr Haji Che Had diberikan taklimat berkenaan perkembangan semasa Divisyen ECQ dan juga perancangan strategik untuk tahun 2022 hingga 2024 bagi memastikan divisyen berkenaan kekal kompetitif dan mencatatkan keuntungan untuk tahun-tahun mendatang.

Sr Haji Che Had turut mengadakan lawatan ke setiap unit kerja di Divisyen ECQ sambil beramah mesra serta memberi sedikit ucapan dan nasihat serta kata-kata semangat untuk meningkatkan lagi motivasi para kakitangan.

Dalam ucapan beliau, Sr Haji Che Had menegaskan bahawa pentingnya untuk bekerjasama dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan kerana ia akan mewujudkan sebuah organisasi yang kukuh berintegriti.

Di samping itu, beliau turut menasihati para kakitangan agar sentiasa membuat perancangan yang rapi bagi setiap perkara kerana kegagalan untuk merancang bermakna telah merancang untuk gagal.

Turut berlangsung, sesi meraikan persaraan dua kakitangan Divisyen ECQ iaitu Rohaya Long, yang merupakan Eksekutif Pembelian di BDB Synergy Sdn Bhd dan Nordin Dahaman, pemandu di BDB Infra Sdn Bhd yang akan bersara pada 31 Mac 2022.

Dalam ucapan penghargaan dari Ketua Divisyen ECQ, Tahir Md. Zin menyifatkan mereka merupakan kakitangan yang cukup komited dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas sehingga ke hari ini.

Rohaya merupakan antara kakitangan yang telah lama berkhidmat iaitu 40 tahun di BDB Synergy (dulu dikenali sebagai Kedah Sato) sejak tahun 1982 hingga Mac 2022 manakala Nordin telah berkhidmat hampir 20 tahun di BDB Infra (Bina Kuari).

Terima kasih kerana memberi perkhidmatan dan sumbangan yang tidak berbelah bagi kepada Kumpulan Bina Darulaman Berhad.

#Kedah
#BinaDarulamanBerhad
#SpiritOfAchievement